ISU e-rokok dan vape menjadi agak 'panas' di Malaysia kini apabila kerajaan mengambil keputusan untuk tidak mengharamkan penggunaan rokok ala generasi baharu ini. Bagi penghisap rokok dan pengamal vape juga dikenali sebagai vapers, seolah-olah keputusan ini satu 'kemenangan' awal bagi mereka pula.
Sebagai seorang pengamal perubatan dan aktif bersama Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) iaitu badan bukan kerajaan (NGO), ingin mengajak pihak berwajib dan kerajaan, ibu bapa serta remaja dan juga mereka yang berkepentingan untuk memahami isu e-rokok dan vape dengan lebih mendalam.
Pendirian tegas dalam isu ini dan pengharaman gejala e-rokok dan vape ini adalah wajar kerana memahami kemudaratan yang disebabkan oleh wap vapor yang dihasilkan melalui kaedah alat elektronik. Saranan ini berdasarkan beberapa kajian saintifik, kajian awal pendedahan wap e-rokok dan juga meneliti pandangan hukum syarak.
Boleh beri kesan mudarat
Walaupun begitu, kita sedar kajian ilmiah secara konklusif untuk mengaitkan wap vapor e-rokok dengan kemudaratan seperti kanser ke atas manusia masih belum diperoleh. Ini tidak bermaksud, kita perlu berdiam diri dan membiarkan gejala ini terus merosakkan masyarakat terutama generasi muda. Banyak kajian awal dan sebahagiannya masih dalam proses kajian, kesan buruk dan mudarat dari segi sosial dan kesihatan mental telah dikenal pasti.
Perlu ditekankan di sini bahawa kategori alat elektronik ini termasuk yang tidak mengandungi nikotin dikenali sebagai vape dan e-rokok pula mengandungi nikotin. Kedua-duanya ini boleh mendatangkan gejala kurang sihat.
Rokok elektronik terdiri daripada beberapa bahagian utama iaitu bateri, atomizer dan penyedut. Secara ringkas, bateri membekalkan tenaga elektrik kepada atomizer yang akan memanaskan cecair e-liquid untuk menghasilkan wap atau vapor. E-liquid pula adalah campuran bahan kimia seperti stablizing agent iaitu prolylene glycol, vegetable glycerin (glycol), perasa dan nikotin.
Ada juga campuran e-liquid ini yang tidak mengandungi nikotin. Namun, nikotin sangat mudah melarut dalam prolylene glycol manakala vegetable glycerin pula menggalakkan kepekatan wap yang dihasilkan. Pelbagai jenis perasa juga digunakan seperti perasa makanan yang biasa. Pengguna akan menyedut wap ini melalui penyedut persis seperti merokok. Gejala ketagihan melalui vape ini tidak perlu dipertikaikan kerana sebahagian besar kandungan e-liquid itu mengandungi nikotin.
Umum mengetahui bahawa nikotin adalah bahan yang didapati daripada daun tumbuhan dan ia ubat perangsang semula jadi. Sebanyak 0.6 hingga tiga peratus nikotin dikenal pasti ada dalam daun tembakau kering manakala 2-7 ug/kg dalam tumbuhan lain. Nikotin boleh menyebabkan ketagihan hampir sama seperti ketagihan kepada heroin dan kokain.
Justeru, pendedahan berpanjangan kepada nikotin akan memberi kesan kepada psikologi seperti mampu mengubah mood, memberi kesan perangsang (stimulant) dan penenang. Banyak kajian saintifik menunjukkan pada dos yang minimum iaitu 2mg nikotin yang diserap ke dalam darah memberi kesan stimulant manakala dos yang tinggi sekitar 50 hingga 100mg mengakibatkan kesan mudarat.
No comments:
Post a Comment